Putaran waktu yang begitu pantas.. Masih segar dalam ingatan aku, setiap memori pahit manis di usia awal usia remaja - 14 tahun!! Di usia ini, untuk pertama kalinya, aku jatuh cinta dengan seorang lelaki. Memang betul, cinta itu dari mata turun ke hati. Tatkala aku terpandang ke matanya, bagai ada sesuatu yang tak dapat diungkap dengan kata-kata, tapi terpahat di hati. Indah untuk dibelai, asyik untuk difikirkan dan amat teruja untuk diterokai! Setiap kali aku terpandang sepasang mata itu, aku jadi tak menentu!! Bila tidak bertemu, aku terasa rindu.. Bila bertemu, aku mahu memperlahankan waktu.. Akhirnya, ketentuan Allah mempertemukan jodoh kami pada 10hb Nov1990. Dikurniakan 7 orang permata hati.. Pernah satu ketika dulu aku mengimpikan anak-anak yang comel. Syukur padaMu ya Allah lantaran telah memakbulkan doa hambaMu ini.
Di usia 11 tahun (1979)??? Aku berada di Darjah 5. Bersekolah di SRK (English) Methodist, Tg Malim. Sentiasa sibuk dengan netball.
21 tahun..(1989)? Aku berada di Northern Consortium United Kingdom (NCUK), Seksyen 6, Shah Alam. Tahun pertama BSc Computer Science. Di sini, aku dipertemukan dengan kawan-kawan yang sehingga kini terus menjadi teman... dan yang paling rapat dengan aku - Zaini, Hakim, Mat, Mat Foock, Ana...banyak lagi! Kami suka lepak kat Tasik Shah Alam waktu petang, kongsi duit beli makanan ikan dalam bakul dan bagi ikan makan. Kami berbuka sama2, makan sama-sama, belajar sama-sama dan bergaduh pun sama-sama. Lagu yang kami selalu nyanyikan ialah Isabella. Sampai sekarang, tiap kali aku dengar lagu ni, aku teringat perjalanan kitorang naik bas ke pantai Port Dickson. Perhubungan yang rapat dengan awan-kawan di NCUK, buatkan kehidupan aku menjadi lebih bermakna. Hari ni kami masih berhubung. Masing-masing dah ada anak dan uban dah ada dicelah-celah rambut. Tapi ku akui, di usia ini kawan-kawan aku yang laki-laki nampak lebih handsome dan matang dengan uban atas kepala!
31 tahun..(1999)?? Ketika ini aku telah dikurniakan 4 orang anak. Taufiq, Dayah, Dalis dan Firman. Mengajar IT untuk program HND Accounting and Business. Bekerja dengan Accountancy and Business College of Dublin, di Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Tmn Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. Juggling dengan anak-anak kat rumah dan kelas. Semua dugaan aku hadapi dengan tenang di usia yang sewajarnya semakin matang.
41 tahun (2009)???
Di usia ini yang aku harapkan adalah kesihatan yang baik disamping kewangan yang stabil untuk membesarkan anak-anak, dan diberi ketabahan untuk membesarkan anak-anak agar mereka berjaya dalam hidup bukan saja pelajaran. Tahun ini, merupakan tahun yang amat memenatkan. Menguruskan anak-anak seramai 7 orang sendirian, bukan sesuatu yang mudah. Namun, kuasa Tuhan mengatasi segalanya. Dia memberi pada aku kekuatan, satu nikmat yang amat aku syukuri.
Taufiq - di tingkatan 5. Bakal menduduki peperiksaan SPM. Sebagai ibu, aku cuba melakukan yang termampu. Aku terpaksa berulang-alik Lembah Beringin - Tg Malim, menghantar Taufiq tusyen. Aku tau Taufiq pun penat tapi..sabarlah Taufiq. Untuk tahun ini yang tinggal beberapa bulan je lagi. Belajarlah rajin-rajin. Berusahalah bersungguh-sungguh. Ibu doakan, Taufiq berjaya dalam peperiksaan dan yang paling penting berjaya dalam hidup. Menjadi seorang yang bertanggung jawab terutama sebagai abang yang sulung perlu menjaga kebajikan adik-adik.
Hidayah - di tingkatan 4. Sekarang di SMT Gombak mengambil kursus Kejuruteraan Am. Aku gembira melihat Hidayah gembira tinggal disini. Dalam hidup ini, perlukan pengorbanan...setiap hari Jumaat dua minggu sekali, aku ke Gombak ambil Hidayah dan hari Ahad hantar semula. Berpisah dengan anak bukan sesuatu yang mudah tapi aku redha demi kebaikan Dayah. Harus aku akui, perbelanjaan meningkat tapi yang aku inginkan anakku ini berjaya mengejar impiannya..yang tinggi...mahu hidup mewah dan membuka rumah agam untuk anak-anak yatim. Satu hasrat yang murni. Aku iringi dengan doa mudah-mudahan segala impiannya menjadi kenyataan.
Dalis - kini di tahun 6. Bakal menduduki peperiksaan UPSR. Dalis menghadiri tusyen di sekolah dan aku cuba membantu mana yang dapat. Silibus pendidikan hari ini jauh lebih sukar dari zaman aku bersekolah dulu. Itu harus aku akui. Aku pecaya Dalis boleh dapat kejayaan yang cemerlang kalau dia berusaha tekun. Tapi Dalis suka main dan tak serius. Ini merisaukan aku. Tapi aku tetap berdoa agar Dalis dapat keputusan cemerlang dalam UPSR nanti.
Firman - kini di tahun 5. Anak aku yang paling gebu. Tapi aku risau sebab Firman lemah dalam pelajaran. Boleh dikatakan semua kerja-kerja sekolah aku kena bantu. Aku tercari-cari cara untuk bersabar dengan kerenah Firman. Bila aku marahkan anak-anak, aku rotan yang kecik-kecik ni, sakitnya terasa kat badan aku sendiri.
Zuri - darjah 2. Petah berkata-kata. Pandai bercakap di usia 1 tahun lebih! Hafal sifir 1-12. Tapi malas buat keje sekolah. Bila bas sekolah nak sampai, masa tu baru nak tengok jadual waktu! Time peperiksaan, dia suka main tanda ajer jawapan tanpa berfikir. Malas nak baca! Betul-betul menghairankan. Zuri pernah cakap pada aku, biar dia yang jaga aku bila aku tua nanti. Sebelum dia pergi kerja, dia akan hantar aku ke 'nursery'! Aku ketawa tapi sedihpun ada. Nursery apa lagi untuk aku bila dah tua nanti selain dari nursery yang sebenarnya pusat jagaan orang tua-tua!!
Tisya - di usia aku 41 tahun, Tisya berusia 6 tahun. Masih di pra-sekolah tapi rajin menulis. Cepat merajuk. Sentiasa nak tidur disebelah aku, berebut dengan Zuri. Aku terpaksa suruh Zuri selalu beralah tapi kadang-kadang kedegilan Tisya menaikkan kemarahan aku. Zuri pulak nangis dan merajuk. Tiap kali aku masak, Tisya mesti datang ke dapur, kupas bawang putih, bawang merah. Satu hari nanti aku akan miss semua ni kan?!!
Sufi - diusia aku 41, Sufi 5 tahun. Di usia aku 51, Sufi baru 15 tahun! Macamana masa tu? Sekarang Sufi di pra-sekolah sekelas dengan Tisya. Semenjak masuk pra, Sufi dah pandai baca doa makan. Tiap kali mengadap makanan di meja makan, walaupun buka bungkusan burger, Sufi akan berdoa. Syukurlah, dia praktikkan apa yang dia belajar di sekolah. Tisya dan Sufi sampai rumah pukul 12, satu setengah jam lebih awal dari Dalis, Firman dan Zuri. Jadi, tiap hari kul 12 (kecuali Jumaat) aku kena balik rumah pukul 12 untuk bukakan pintu bagi dorang masuk. Mudah2an malaikat2 Allah memelihara keselamatan anak-anak di rumah.....
Kadang-kadang aku terfikir, macamana agaknya hidup aku tanpa anak-anak. Tentu hidup aku sepi. Bila anak-anak tidur, wajah anak-anak nampak tenang tapi hati aku sayu... Aku bukan manusia yang sempurna tapi aku mahu jadi ibu yang baik untuk anak-anak aku. Bila aku marah, aku nak anak-anak tau - aku mahu dorang jadi insan yang sempurna. Saat aku hidup dan bernafas inilah, saat paling berharga untuk aku menasihatkan anak-anak aku. Bila aku mati, yang tinggal hanya pesanan..
Ya Allah..walau dimanapun anak-anak aku berada, Engkau lindungilah anak-anakku. Lapangkan rezki mereka dan kurniakan kepada mereka rahmat kebaikan di dunia dan di akhirat.